ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua beranak yang tersepit dalam kereta. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan dua beranak yang tersepit dalam kereta. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Wanita maut manakala ibu bapanya cedera dalam kemalangan di Jalan Sungai Jagung, di sini, malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku pada 10.30 malam membabitkan kereta dinaiki tiga beranak itu dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati, SUV itu dipercayai datang dari arah Sungai Jagung ke Bandar Laguna Merbok manakala kereta yang dipandu lelaki berusia 54 tahun itu dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang kiri SUV itu pecah menyebabkan ia gagal dikawal dan terbabas ke kanan lalu merempuh pembahagi tengah jalan bersimen dan masuk ke laluan bertentangan.

"Ketika itu kereta yang dinaiki tiga beranak itu yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung depan kenderaan SUV itu.

"Akibat kemalangan itu, pemandu kedua-dua kenderaan itu mengalami kecederaan ringan, penumpang hadapan kereta patah kaki kanan manakala penumpang hadapan kereta itu cedera di kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, kesemua mereka dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Bagaimanapun Adzli berkata, penumpang belakang kereta itu iaitu anak berusia 21 tahun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital pagi tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.54 malam berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hafiezul Ishak tiba di lokasi pada 11.02 malam.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan dua beranak yang tersepit dalam kereta berkenaan menggunakan peralatan khas.

"Operasi tamat pada jam 11.36 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 11:14 AM