PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa yang ditemui lima meter dari lokasi dia terjatuh, hari ini. FOTO ihsan bomba.
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa yang ditemui lima meter dari lokasi dia terjatuh, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Omar Ahmad


Mersing: Nelayan yang terjatuh dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, di sini, ketika melompat ke dalam bot ditemui lemas, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Husin berkata, mayat mangsa Muhammad Al-Shafiq Abdul Rosool, 25, ditemui pada jarak lima meter dari lokasi dia terjatuh.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Mayat mangsa dijumpai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 4.17 petang pada jarak lima meter dari lokasi mangsa terjatuh," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi hari ini, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu dan menggerakkan pasukan termasuk 10 anggota PPDA dari BBP Endau, BBP Mersing dan BBP Tebrau.

Menurut saksi, mangsa terjatuh ke dalam sungai dan terus tenggelam ketika cuba melompat dari jeti ke dalam bot.

Difahamkan nelayan lain membuat pencarian sejurus mangsa terjatuh, namun tidak berjaya sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dibantu nelayan tempatan kemudian dihentikan pada 5.10 petang.

Berita berkaitan

'Nelayan hilang terjatuh dari jeti'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:57 PM