Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pokok berusia lebih 100 tahun berhampiran sebuah hotel di Jalan Bintang, di sini, tumbang akibat hujan lebat yang melanda ibu negara sejak jam 3 pagi tadi.

Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Anuar Mohd Zain berkata, pihaknya menerima aduan mengenaik kejadian itu kira-kira jam 6 pagi tadi.

"Seramai 15 anggota dari tiga pasukan Skuad Kecemasan DBKL dikejarkan ke lokasi untuk membuat kawalan dan melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Kami memulakan kerja-kerja pembersihan kira-kira jam 7 pagi tadi dengan menggunakan beberapa jentera dan lori," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Anuar berkata, kerja-kerja pembersihan masih berjalan dan dijangka selesai jam 6 petang kerana pokok berkenaan bersaiz besar.

"Dalam kejadian ini, tiada mangsa dilaporkan cedera. Hanya sebuah kereta Perodua Axia yang diletakkan berhampiran hotel berkenaan dilaporkan rosak, manakala tiada kerosakan serius membabitkan struktur bangunan hotel terbabit.

POKOK berusia lebih 100 tahun yang terletak berhampiran sebuah hotel di Jalan Bintang, Kuala Lumpur, tumbang, pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca
POKOK berusia lebih 100 tahun yang terletak berhampiran sebuah hotel di Jalan Bintang, Kuala Lumpur, tumbang, pagi tadi. FOTO Ihsan pembaca

"Kami juga sudah berjumpa pemilik kenderaan itu dan memaklumkan kepadanya bahawa dia boleh menuntut insurans dengan DBKL berhubung kerosakan dialami dalam kejadian ini," katanya.

Beliau berkata, terdapat jalan alternatif lain disediakan bagi pengguna jalan raya yang mahu melalui kawasan berkenaan.

"Ada anggota trafik DBKL yang bertugas bagi mengawal lalu lintas di kawasan ini sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan," katanya.

Menurutnya, DBKL menerima tiga lagi aduan membabitkan pokok tumbang di sekitar ibu kota ini.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan yang mempunyai banyak pokok memandangkan cuaca tidak menentu dengan hujan serta banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 2:10 PM