KAKITANGAN Angkatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan cawangan Putrajaya menyusun air galian sumbangan orang ramai untuk diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu. Sumbangan boleh dibawa ke Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana Banjir Presint 15, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KAKITANGAN Angkatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan cawangan Putrajaya menyusun air galian sumbangan orang ramai untuk diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu. Sumbangan boleh dibawa ke Pusat Pengumpulan Bantuan Bencana Banjir Presint 15, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil inisiatif membuka pusat pengumpulan bantuan bencana banjir.

Ia dibuka di Pusat Kawalan Operasi Daerah Putrajaya, di Presint 15, bagi membolehkan orang ramai menghantar sumbangan.

Pegawai APM Daerah Putrajaya Mejar (PA), Mohd Izaimi Md Daud, berkata pusat pengumpulan itu dibuka sejak Khamis lalu.

Katanya, ia beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai, badan korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan sumbangan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

"Jenis bantuan yang digalakkan dihantar adalah minuman dan makanan dalam tin atau paket, perkakasan untuk bayi termasuk lampin pakai buang dan peralatan mandian yang amat diperlukan untuk mangsa banjir.

"Jika boleh jangan hantar pakaian kerana berdasarkan pengalaman kita sebelum ini ada yang menghantar pakaian yang terlalu lusuh.

“Bukan kita tidak menghargai sumbangan mereka tetapi ada yang mengambil kesempatan menghantar barang tidak elok untuk disumbangkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Izaimi berkata, pusat pengumpulan itu akan dibuka untuk tempoh dua minggu, dan penghantaran pertama ke negeri terbabit banjir dijangka dilakukan minggu depan.

Katanya, mana-mana pihak yang memberi sumbangan akan direkodkan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan telus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:42 PM