Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak bersetuju melaksanakan program pemutihan bagi kawasan diteroka secara haram dengan melupuskan 5,959.75 hektar tanah kepada beberapa anak syarikat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, daripada jumlah berkenaan, kawasan seluas 3,930.79 hektar diberikan pajak sewa kepada pengusaha bagi proses pemutihan di atas usaha pertanian, penternakan dan perikanan.

Katanya, manakala baki kawasan seluas 2,028.96 hektar akan dipertimbangkan untuk diadakan tindakan penguatkuasaan atau pertimbangan proses pelupusan yang lain berdasarkan kepada penelitian selanjutnya.

DATUK Seri Saarani Mohamad. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Saarani Mohamad. FOTO arkib NSTP

"Bagi tanah kerajaan yang diteroka secara haram dan program pemutihan dilaksanakan oleh Pentadbir Tanah Daerah Negeri Perak, dianggarkan kawasan seluas 6,072.27 hektar dikenal pasti dan sedang dilaksanakan program pemutihan pertanian seperti pengwujudan Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB), pengeluaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan sebagainya.

"Daripada program pemutihan dijalankan, dianggarkan hampir 10,000 pengusaha akan mendapat hak milik, pajak sewa atau lesen," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Dr Kong Chung Sen (DAP-Kepayang) mengenai pemutihan kawasan penerokaan haram pertanian pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Saarani berkata, sehingga November lalu sebanyak 6,000 permohonan berjaya dan sedang diproses untuk proses pemutihan ini.

Beliau berkata, dianggarkan jumlah hasil cukai tanah yang dapat dikutip oleh kerajaan negeri daripada program pemutihan itu adalah sebanyak RM252,777.91 bagi kategori pertanian.

"Manakala sebanyak RM6,875.80 bagi kutipan cukai tanah yang diteroka secara tidak sah untuk kategori penternakan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Chung Sen mengapa kerajaan tidak bekerjasama dengan pengusaha sama untuk membangunkan tanah terbabit, Saarani berkata, kawasan itu dizonkan sebagai perindustrian.

"Jadi tidak boleh beri kepada pengusaha dalam bidang pertanian tetapi kita menyediakan satu kawasan lain yang membolehkan mereka menjalankan kerja pertanian di lokasi lain yang dizonkan sebagai pertanian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 11:56 AM