SUSPEK ditahan ketika cuba menyeludup 3,500 liter minyak petrol di kawasan perairan Puau Siamil, dekat sini, semalam. FOTO Ihsan ATB2.
SUSPEK ditahan ketika cuba menyeludup 3,500 liter minyak petrol di kawasan perairan Puau Siamil, dekat sini, semalam. FOTO Ihsan ATB2.
Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) menggagalkan cubaan empat lelaki warga Filipina menyeludup keluar 3,500 liter minyak petrol melalui kawasan perairan Pulau Siamil, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 8.25 malam itu, suspek yang masing-masing menggunakan tiga buah bot laju berjaya dikesan menerusi Radar "Coastal Surveillance Station" (CSS) bergerak laju dari arah Pulau Siamil menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia, berhampiran Pulau Sitangkai, Filipina.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, susulan itu Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) menggerakkan pasukan 'Quick Response Force (QRF) yang berada di kawasan OP PASIR Selatan sebelum berjaya pintasan pada jam 8.28 malam.

Beliau berkata, bagaimanapun sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF manakala dua lagi ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan awal, empat awak-awak lelaki, warganegara Filipina masing-masing berusia antara 19 hingga 50 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

"Turut ditemukan sebanyak 3,500 liter minyak petrol yang diisi di dalam 100 bekas tong plastik dengan setiap satunya berkapasiti 35 liter selain empat tong gas cecair petroleum (LPG) 16 kilogram," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Abdul Karim Ahmad berkata, semua suspek bersama barang rampasan termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan bernilai RM 61,776.00 di bawa ke Jeti Kem Azumi sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 10:09 AM