GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Semporna: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1,225 liter petrol menggunakan bot laju di perairan Pulau Bohayen dekat sini, semalam.

Komander ATB 2 Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, terdahulu, bot tempur 'Rigid Hull Inflatable Boat' Z (RHIB Z) bersama Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) Pulau Mataking mengesan dua bot laju dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 2.45 pagi.

"Kedua-dua bot berkenaan dari arah Semporna menuju ke Sitangkai, Filipina, namun satu daripada bot itu berjaya dipintas RHIB Z manakala sebuah bot lagi berjaya meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot dipintas itu mempunyai dua awak-awak lelaki warganegara Filipina, masing-masing berusia 20 dan 41 tahun serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Karim berkata, pemeriksaan di dalam bot menemukan 35 tong petrol yang setiap satunya berkapasiti 35 liter dengan keseluruhannya berisi 1,225 liter.

Katanya, bot dan petrol itu dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Semporna ujian saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 2:29 PM