Noorazura Abdul Rahman


Baling: "Saya mahu jadi imam selepas berkhatan nanti, jika tak ikut abang berkhatan hari ini saya hanya akan terus jadi makmum ketika solat di rumah," kata Ahmad Musleh Md Hermi, 4.

Anak ketiga daripada empat beradik ini jelas sangat gembira dapat menyertai dua orang abangnya Ahmad Musthofa, 7, dan Ahmad Mursyid, 5, untuk berkhatan secara beramai-ramai dalam Program Khatan Perdana Peringkat Parlimen Baling di Stor Logistik Parlimen Baling di Kampung Teluk Durian, di sini, hari ini.

Katanya, dia tidak merasa takut, malah rasa bersemangat dapat berkhatan pada usia itu.

"Lepas berkhatan nanti saya boleh jadi imam, boleh cepat jadi besar," katanya yang bercita-cita menjadi polis.

Abang keduanya, Ahmad Mursyid berkata, dia sangat seronok apabila buat kali pertama dapat mandi dengan pancutan air bomba sebelum dikhatankan.

Dia yang bercita-cita menjadi pegawai bomba teruja dapat melihat jentera bomba dari dekat sehingga terlupa akan dikhatankan.

Anak kepada pasangan Md Hermi Abdul Manaf, 39, dan Nur Hamidah Mohamad Pauzi, 33, ini menetap di Mesir sebelum ini berikutan ibunya membuka kedai makan dan belajar di sana selama 13 tahun.

Mereka bagaimanapun kembali ke kampung di Baling selepas Nur Hamidah tamat pengajian di Universiti Al Azhar tahun lalu selain perniagaan mereka di sana turut terkesan akibat pandemik

Covid-19.

Nur Hamidah berkata, dia bersama suami kini mencari rezeki dengan membuat tapai dan dihantar ke kedai makan berdekatan rumahnya di Kampung Haji Abas.

"Alhamdulillah hasil menjual tapai kira-kira RM800 sebulan dapatlah tampung perbelanjaan kami sekeluarga, program ini dapat membantu golongan B40 seperti kami, jika tidak saya tidak akan dapat khatankan anak saya serentak kerana kosnya mencecah RM150 seorang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, program berkhatan perdana itu adalah program tahunan yang dianjurkan pihaknya sejak 24 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, program pada tahun ini hanya membabitkan 350 kanak-kanak berbanding 1,000 peserta sebelum pandemik Covid-19.

"Saya anjurkan majlis ini sejak saya pegang jawatan Pengerusi Gerakan Belia 4B lagi sejak pada 1997 sehingga saya menjadi Ahli Parlimen sekarang.

"Selepas ini saya akan adakan program bantuan seragam sekolah pula untuk golongan B40, sekiranya ada yang tidak mampu bayar yuran sekolah saya akan tolong bayarkan," katanya.

SUNIRA memberikan susu kepada Qaseh Nurhawa. FOTO Nazdy Harun.
SUNIRA memberikan susu kepada Qaseh Nurhawa. FOTO Nazdy Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:36 PM