ANTARA kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana 2016. FOTO Safuri Kamarudin
ANTARA kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana 2016. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Seribu kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dan miskin disasar menyertai program Khatan Perdana 2016 dikendalikan 35 doktor pakar dan seorang mudim anjuran Pejabat Parlimen Baling sehingga lewat petang ini.

Setakat 2.30 petang tadi, 850 kanak-kanak sudah dikhatankan dan program sedang berlangsung meriah termasuk majlis kenduri yang turut diadakan.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, program tahunan itu bertujuan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik supaya beban ibu bapa dapat dikurangkan apabila menyertai secara beramai-ramai dan percuma.

"Ini juga satu cara bagi meraikan kanak-kanak supaya mereka tidak rasa takut dan dapat berkenalan di antara satu sama lain.

"Ibu bapa dan waris juga turut meraikan anak-anak mereka yang menghadapi pengalaman pertama sebelum menempuh alam dewasa," katanya pada Program Khatan Perdana 2016 Peringkat Parlimen Baling di Dewan Kompleks Belia dan Sukan, Batu 42, Pulai.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz dan Penyelaras Kuala Ketil, Datuk Khairul Azhar Abdullah.

Abdul Azeez berkata, sejak dimulakan pada 2004 program khatan itu sentiasa mendapat sambutan kalangan ibu bapa yang mendaftarkan anak mereka apabila cuti persekolahan akhir tahun.

"Program berkhatan ini adalah percuma bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah dan kita dibantu oleh 35 orang doktor pakar dan seorang mudim kampung bermula 8 pagi tadi hingga lewat petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 3:30 PM