MUHAMMAD Rizwan menasihati kanak-kanak supaya jangan terlalu leka bermain banjir ketika tinjauan di Kampung Manek Urai Lama. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MUHAMMAD Rizwan menasihati kanak-kanak supaya jangan terlalu leka bermain banjir ketika tinjauan di Kampung Manek Urai Lama. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Krai dibuka khusus untuk menempatkan kes positif Covid-19 dan kuarantin bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di PPS.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, tiga PPS berkenaan adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Yahya Petra 1, SK Dabong, dan SK Manek Urai Baru.

Katanya, bagaimanapun, setakat ini maklumat yang diperoleh daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai, masih belum ada mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan seperti yang ditetapkan.

"Dalam normal baharu, ujian saringan adalah prosedur wajib yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

"Prosedur ini mesti dipatuhi untuk mengesan sama ada berlaku jangkitan atau tidak dalam kalangan mangsa banjir yang dipindahkan di PPS dan jika positif, maka perlu diasingkan di tempat khas bagi membendung penularan wabak ini menjadi lebih serius," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Kampung Manek Urai Lama, di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Rizwan berkata, dia turut menasihatkan kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadikan banjir yang melanda di beberapa kawasan sebagai pesta air.

"Kebanyakan masyarakat beranggapan banjir bukan bencana kerana keghairahan mereka untuk bermain air dan harus diingat kejadian yang tidak diingini seperti lemas boleh sahaja berlaku walaupun sesuatu aktiviti itu dianggap sekadar hiburan atau riadah.

"Sebagai contoh, pada Oktober lalu, seorang anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh terkorban ketika sedang menyelamatkan mangsa banjir sedangkan pada ketika itu arwah lengkap dengan peralatan untuk menyelamat.

"Bagi mengelak insiden yang tidak diingini, pihak kami membuat tinjauan berkala ke kawasan rendah yang dilanda banjir untuk memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak bermain air," katanya.

Katanya, terdapat 20 perkampungan kecil di Kuala Krai sudah dilanda banjir termasuklah di Kampung Manek Urai, Kampung Mesek, Kampung Gajah, Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Kampung Kuala Pertang, dan Kampung Guchil.

"Sehingga kini terdapat 20 PPS yang dibuka di Kuala Krai yang menempatkan lebih 700 mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 8:07 AM