Hasnah Daud @ Yaakop, 55 (kiri) bersama suaminya, Saras Ismail, 79, yang menghidap penyakit parkinson ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kampung Bukit Mentok. FOTO Ghazali Kori
Hasnah Daud @ Yaakop, 55 (kiri) bersama suaminya, Saras Ismail, 79, yang menghidap penyakit parkinson ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kampung Bukit Mentok. FOTO Ghazali Kori
BERNAMA

Kuala Lumpur: Situasi banjir di dua negeri pantai timur Semenanjung menunjukkan perkembangan lebih baik pagi ini apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 2,312 orang berbanding hampir 5,000 orang petang semalam.

Di Terengganu, jumlah mangsa terus berkurangan kepada 1,218 orang daripada 321 keluarga setakat 8 pagi berbanding 4,139 orang daripada 991 keluarga petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, hanya 18 PPS masih dibuka iaitu 11 di Dungun dan tujuh di Kemaman.

"Di Kemaman, situasi banjir bertambah baik dengan mangsa berkurangan kepada 766 orang daripada 197 keluarga berbanding 3,625 orang daripada 846 keluarga petang semalam.

"Mangsa banjir di Dungun, berkurangan kepada 452 orang daripada 124 keluarga berbanding 514 orang daripada 145 keluarga sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai utama di Terengganu kembali ke paras normal pagi ini, manakala hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman merekodkan bacaan setinggi 4.64 meter (m) mengatasi paras bahaya 4.5 m.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir sehingga 8 pagi ini turut berkurangan kepada 1,094 orang berbanding 1,156 mangsa berikutan cuaca baik sejak semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Pasir Mas masih merekodkan mangsa dengan bilangan tertinggi dipindahkan iaitu 986 orang daripada 366 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.

Dua PPS masih diaktifkan di Tanah Merah yang menempatkan 79 mangsa daripada 29 keluarga dengan 65 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang dan 14 di Dewan Komuniti manakala di Kuala Krai pula sebanyak 29 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini Sungai Golok di Rantau Panjang masih menunjukkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 10.22 m (bahaya: 9 m), manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras amaran iaitu 2.48 m (amaran: 2.15 m).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 11:16 AM