KEADAAN banjir yang melanda. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN banjir yang melanda. FOTO Ihsan Pembaca.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 113 individu ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Klang setakat jam 10 malam susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, tiga PPS berkenaan dibuka di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulau Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong.

"Setakat ini tiga PPS dibuka di kawasan Klang membabitkan 113 mangsa, bagaimanapun operasi masih dilaksanakan dan jumlah mangsa sebenar belum dapat dipastikan.

"Sebanyak 20 kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat hari ini dan Telok Gong antara yang paling terkesan dengan kenaikan air sehingga ke paras pinggang.

"Seramai enam mangsa termasuk seorang warga emas dan empat kanak-kanak diselamatkan seterusnya ditempatkan di PPS SK Telok Gong," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selain Telok Gong kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 10:49 PM