Hasni Mohammad  (kiri) dan Timbalan Pengerusi UMNO Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO IHSAN UMNO PONTIAN
Hasni Mohammad (kiri) dan Timbalan Pengerusi UMNO Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO IHSAN UMNO PONTIAN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Umno Johor menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata sokongan itu tidak perlu diterjemahkan dalam bentuk usul mahupun undian di peringkat 26 Umno bahagian di negeri ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian berkata, pergeseran dalam politik adalah perkara biasa, namun tidak perlu mengheret akar umbi untuk membuktikan sokongan terhadap mana-mana pemimpin di dalam Umno.

"Ada gesaan dibuat supaya Umno Johor perlu berikrar nyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Namun perlukah ikrar ini dibuat?

"Bukan tidak pernah ada perbalahan, pertembungan dan pergeseran dalam parti. Namun perkara ini tidak perlu bawa dalam ucapan atau mesyuarat Umno bahagian untuk dibuat ketetapan atau usul.

"Namun, Umno Johor tetap akan menyokong Perdana Menteri. Itu adalah pendirian Umno Johor. Kita akan sokong perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga penggalnya tamat.

"Pimpin negara ini dengan baik, buat dasar terbaik untuk menjaga Umno, rencanakan program yang terbaik supaya kepentingan, kedudukan Umno kembali semula menerima keyakinan rakyat. Lakukan yang terbaik supaya kita dapat kembalikan keyakinan masyarakat terhadap Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pontian di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Umno yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata kematangan sewajarnya ditunjukkan Umno yang berusia 75 tahun dalam isu sokongan kepada Perdana Menteri ketika ini.

"Saya amat kecewa jika pemimpin menganggap kita di cawangan seolah-olah tidak pandai berpolitik dan tidak pandai buat pertimbangan.

"Tugas Umno adalah untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan orang melayu terhadap parti itu serta memainkan peranan sebagai parti politik yang menyatukan dan mengharmonikan rakyat di negara ini.

"PRU-14 adalah amat malang bagi UMNO. Kita harus belajar daripada episod itu supaya ia tidak berulang lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:49 PM