Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa (tengah). FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa (tengah). FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Omar Ahmad.


Kota Tinggi: Pencarian baki 16 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang masih hilang dalam insiden bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi di sini, mendapat kerjasama dari negara jiran, Singapura dan Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata setakat ini kerjasama daripada negara jiran amat baik.

Katanya pihaknya menggunakan kaedah Navigational Telex (NAVTEX) dan e-mail yang disalurkan Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya kepada pusat carilamat negara jiran.

"Kita juga sudah maklum dari awal kejadian ini. Secara rasmi tentang kejadian ini juga telah dimaklumkan kerajaan Malaysia melalui MRCC Putrajaya dan Kementerian Luar kepada negara jiran.

"Pihak Kementerian Luar dan wakil konsulat Indonesia juga telah ada sejak hari pertama kejadian berlaku.

"Kerjasama tersebut bagi memastikan kedua negara berkenaan berhubung dengan pihak Malaysia jika menemui sebarang penemuan," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau, di sini, hari ini.

Simon turut memaklumkan sehingga pukul 3 petang tadi, tiada penemuan mayat dilaporkan pasukan penyelamat.

"Ia sekali gus menjadikan jumlah mangsa dipercayai masih hilang kekal 16 orang.

"Kawasan pencarian diperluaskan pada hari ini, disebabkan petunjuk pada hari ketiga, semalam selepas menjumpai satu mayat di perairan Tanjung Punggai, Pengerang.

"Keadaan cuaca tidak menentu hujan dan ombak besar menghadkan penglihatan sewaktu operasi mencari dilakukan," katanya.

Semalam, terdapat satu mayat lelaki ditemui di Perairan Tanjung Punggai, manakala salah seorang daripada 14 mangsa yang selamat disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ia menjadikan jumlah mangsa yang ditemui 34 iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat dan 16 lagi masih hilang.

Kelmarin, lapan mayat lagi ditemui pada hari kedua operasi dengan 11 mayat ditemui terdampar di Pantai Tanjung Balau pada pagi Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:25 PM