ENAM keluarga di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh kembali resah apabila penempatan mereka sudah mula  digenangi air hampir setengah meter susulan peningkatan air di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ENAM keluarga di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh kembali resah apabila penempatan mereka sudah mula digenangi air hampir setengah meter susulan peningkatan air di Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Enam keluarga di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh, di sini kembali resah apabila penempatan mereka mula digenangi air hampir setengah meter (m) sejak malam tadi.

Lebih menyedihkan, mereka baru seminggu kembali ke rumah selepas dua minggu berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh akibat rumah dilanda banjir termenung.

Seorang daripadanya, Nur Azni Setapa, 45, berkata, tahun ini sahaja sudah dua kali dia dan keluarganya berpindah ke PPS disebabkan rumah dinaiki air antara 0.8m hingga 1.5m.

"Kalau diikutkan rasa penat, sudah tidak tahu macam mana nak gambarkan, sedih lagi kerana perlu berpindah randah berulang kali, tetapi, apakan daya kediaman kami berada di lokasi rendah, jadi perlu reda dengan fenomena bah ini.

"Jika cuaca terus mendung dan hujan lebat begini, kami jangkakan akan mula berpindah petang ini kerana risau jika masih menunggu akan terperangkap kerana biasanya air naik mendadak pada waktu malam.

"Jadi, bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini, lebih baik ambil langkah awal. Kami pun perlu meredah air banjir sejauh 500m sebelum sampai PPS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kampung Bendang Perol antara lokasi terawal di Pasir Mas yang akan dilanda banjir sekiranya berlaku hujan lebat dan Sungai Golok melimpah, selain Kampung Luar, Kampung Lachang dan Kampung Pengkalan Rakit.

Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok menunjukkan trend air semakin meningkat dengan bacaan 7.56m melebihi paras berjaga-jaga setakat jam 11.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 2:38 PM