GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Sebanyak 1,838 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja di Kelantan menerusi Karnival Jamin Kerja Peringkat Negeri Kelantan yang akan diadakan secara fizikal dan dalam talian pada 21 dan 22 Disember ini.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan Nora Yaacob berkata, 19 majikan akan terbabit pada karnival berkenaan dengan menawarkan lebih 70 jawatan.

Katanya, objektif utama penganjuran karnival itu adalah untuk membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terutamanya bagi jawatan yang lazimnya diisi dan dimonopoli oleh pekerja asing.

"Ini adalah peluang yang baik selain ia memberi keutamaan kepada pencari kerja dalam kalangan warga Malaysia. Ia secara langsung akan mengurangkan kebergantungan pihak industri terhadap tenaga kerja asing.

"Antara majikan yang terbabit adalah Fuji Seat (Malaysia), Ingress Precision, Toyota Asssembly Services dan Daihatsu Perodua Engine Manufacturing. Jawatan yang ditawarkan seperti operator pengeluaran, eksekutif akaun, juruteknik, dan jurutera kualiti.

"Pencari kerja yang mahu menyertai karnival ini boleh membuat pra pendaftaran menerusi pautan https://bit.ly/karnivaljaminkerja dan berdaftar terlebih dahulu di portal pekerjaan negara, MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my," katanya pada kenyataan hari ini.

Nora berkata, karnival berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui Perkeso dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

"Maklumat lanjut berkaitan sesi temuduga di karnival boleh diperoleh melalui laman Facebook Perkeso Kelantan dan di aplikasi Telegram Kelantan Career Centre.

"Tawaran ini diharap dapat memberi manfaat kepada ramai orang khususnya bagi mereka yang terkesan akibat Covid-19, agar dapat membina kerjaya baru sekali gus memberi pendapatan yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 3:20 PM