ANTARA lampu solar yang dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ANTARA lampu solar yang dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Saya sangat kecewa apabila kemudahan lampu solar yang dipasang di Bukit Taisho dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

"Lampu itu adalah sumbangan orang ramai dan ia adalah kemudahan pendaki terutama pada awal pagi atau turun pada waktu malam," kata Timbalan Pengerusi Kembara Bukit Taisho Bahau, Alwi Alias.

Katanya, pemasangan lampu itu juga sebagai panduan selepas ada dalam kalangan pendaki yang sesat ketika dalam perjalanan turun.

Alwi berkata, sebanyak tujuh lampu dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab sekali gus menyusahkan pendaki lain.

"Lampu solar itu dipasang di lokasi strategik sepanjang pendakian melalui kebun kelapa sawit.

"Kita juga merancang untuk menambah bilangan lampu sedia ada sehingga ke kaki Bukit Taisho namun kejadian ini menyebabkan kita terpaksa berfikir dua kali," katanya.

Alwi berkata, setiap lampu dianggarkan berharga RM200 dan kejadian itu menyebabkan berlaku kerugian RM1,400.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab dan merosakkan harta benda awam sesuatu yang tidak boleh diterima seterusnya merugikan penyumbang.

Alwi berkata, kejadian dimaklumkan kepadanya oleh pendaki sebelum dia ke lokasi bagi melihat lampu yang dirosakkan.

"Kita bercadang membuat laporan polis berkaitan kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 10:35 AM