Anggota Penguatkuasa KPDNKK Pahang menyita mesin pembungkusan sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Jalan Pekan-Nenasi, hari ini.  - Foto Bernama
Anggota Penguatkuasa KPDNKK Pahang menyita mesin pembungkusan sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Jalan Pekan-Nenasi, hari ini. - Foto Bernama
BERNAMA

Pekan: Sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Jalan Pekan-Nenasi di sini, disita kerana disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi sejak awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata, kegiatan kilang itu terbongkar selepas KPDNKK membuat pemeriksaan ke atas sebuah kilang penapisan di Gebeng, Kuantan, semalam.

Katanya hasil pemeriksaan itu mendapati nama kilang itu ada dalam senarai pembeli minyak masak bersubsidi.

"Kilang itu beroperasi sejak 2004 tetapi menghantar notis tidak lagi beroperasi kepada KPDNKK sejak setahun lalu. Bagaimanapun, pemeriksaan di kilang di Gebeng semalam mendapati mereka masih membuat pembelian.

"Rekod juga menunjukkan sejak Januari hingga Oktober lalu, kilang itu membeli 494.69 tan metrik minyak masak dengan nilai subsidi dianggar lebih RM113,000," katanya di sini, hari ini.

Alwi berkata kilang itu diusahakan seorang lelaki berusia 76 tahun bersama menantunya berumur 60 tahun dan memiliki lesen membungkus semula minyak masak sehingga 2018, serta pernah membuat permohonan untuk menambah kuota pembelian, namun tidak diluluskan.

Minyak masak yang dibungkus semula di kilang itu sebelum ini dipercayai untuk pasaran kedai runcit di Pekan dan daerah berhampiran.

"Bagaimanapun, kita percaya kilang itu sudah lama tidak beroperasi kerana tiada minyak masak ditemui di premis selain mesin pembungkusan kelihatan sudah lama tidak digunakan manakala plastik dan kotak pembungkusan tidak diusik," katanya.

Alwi berkata, pengarah kilang itu mendakwa minyak masak yang dibeli di Gebeng dijual semula kepada seorang pembeli dari Klang, Selangor.

"Perbuatan mereka melanggar Jadual 2 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan kita akan memohon pengawal bekalan iaitu Ketua Setiausaha KPDNKK membatalkan lesen mereka," katanya.

Alwi berkata pengarah kilang itu juga boleh didakwa dan dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM2 juta bagi syarikat, jika sabit kesalahan.

Dalam operasi itu, KPDNKK menyita peralatan bernilai RM280,000 termasuk mesin pembungkusan dianggar bernilai RM150,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 8:49 PM