ENAM remaja lelaki ditahan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal. FOTO Ihsan PDRM
ENAM remaja lelaki ditahan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Port Dickson: Mereka sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun menghabiskan masa merempit selepas berhenti sekolah dengan alasan malas belajar.

Itu pengakuan tiga remaja berusia 17 tahun yang juga antara enam lelaki ditahan menunggang motosikal secara berbahaya dalam Operasi Khas Samseng Jalanan semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi dijalankan bermula 9 pagi hingga 8.30 malam itu membabitkan dua pegawai dan 18 anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.

Menurutnya, pada 12.20 tengah hari ketika menjalankan operasi terlihat sekumpulan motosikal ditunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi bersaing sesama sendiri sambil meniarap di atas motosikal serta melakukan aksi 'superman'.

"Mereka juga melakukan aksi menundukkan badan dan aksi zig-zag bermula dari Kilometer 21 sehingga di Kilometer 26 Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) arah Port Dickson.

"Sebaik enam remaja lelaki berusia 17 hingga 19 tahun itu berhenti di bengkel motosikal di Jalan Jamaludin Port Dickson, Negeri Sembilan, polis terus menahan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, hasil pemeriksaan didapati seorang daripada penunggang terbabit tidak memiliki lesen memandu.

"Penunggang bersama motosikal dibawa balik ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Port Dickson untuk diambil tindakan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sebanyak 24 saman dikeluarkan ke atas mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 2:28 PM