(Dari kiri) Ketua Perolehan PLUS, Zulkippli Haron;  Satpal Singh; Azman dan  Ketua Governans & Integriti PLUS Nur Afifah Mohamaddiah mempamerkan sijil pengiktirafan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) yang diterima baru-baru ini. FOTO ihsan PLUS
(Dari kiri) Ketua Perolehan PLUS, Zulkippli Haron; Satpal Singh; Azman dan Ketua Governans & Integriti PLUS Nur Afifah Mohamaddiah mempamerkan sijil pengiktirafan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) yang diterima baru-baru ini. FOTO ihsan PLUS
Mahaizura Abd Malik


PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan pensijilan ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pengiktirafan itu diterima selepas lima bulan komitmen ikrar Anti Rasuah dan Korupsi (ABAC) di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika berlangsungnya Hari Integriti PLUS pada Februari lalu.

"Saya amat berbangga kerana ketika berlakunya wabak Covid-19 ini, PLUS berupaya mempercepat mengadaptasi cara kerja baharu dengan memanfaatkan penggunaan teknologi untuk menghubungkan kakitangan, rakan niaga dan masyarakat terhadap kepentingan menegakkan integriti.

"Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi tahap kedudukan sikap sifar toleransi PLUS terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi.

"Slogan #pilihintegrititiadatoleransi yang kami terapkan menegaskan kepercayaan kami bahawa tiada kompromi terhadap perihal integriti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Governans dan Risiko PLUS, Satpal Singh berkata, pensijilan itu diperolehi selepas pemeriksaan audit secara teliti dan mendalam dilakukan pihak SIRIM QAS International, sebuah badan pensijilan bebas yang membuat kesimpulan bahawa PLUS menunjukkan proses dan praktik berkesan untuk mengelak, mengesan dan bertindak balas terhadap gejala rasuah selaras dengan undang-undang anti rasuah.

"Sebelum menerima pengiktirafan itu, PLUS melancarkan saluran pemberian maklumat di lawan web rasmi, yang membolehkan orang ramai untuk melaporkan kes yang disyaki berkenaan dengan perlakuan tidak wajar PLUS tanpa perlu rasa takut dan risau terhadap sebarang tindakan balas.

"Semua laporan yang diterima adalah sulit dan tindakan akan diambil kepada mereka yang tidak mematuhi Prinsip ABAC PLUS.

"Pensijilan ini membuktikan hasil usaha yang luar biasa PLUS dalam usaha mendorong ke arah pemikiran budaya ABAC di antara golongan Warga PLUS dan menunjukkan komitmen dan kesediaan kami terhadap keperluan tanggungjawab korporat dalam Seksyen 17 (A) Akta SPRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 10:57 AM