Azmi Mohd Zain.
Azmi Mohd Zain.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pantai berpasir di Anjung Floria Putrajaya, Presint 4 di sini, bakal menjadi salah satu tarikan terbaharu pelancongan dan pusat aktiviti rekreasi di sini.

Lokasi itu yang dahulunya adalah tapak penganjuran Festival Bunga dan Taman Antarabangsa (FLORIA) Diraja Putrajaya

bakal dibuka hujung bulan ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, pantai berpasir itu mempunyai keistimewaan kerana ia menggunakan air tasik semulajadi.

Menurutnya, pengunjung boleh mengadakan pelbagai aktiviti antaranya berkayak, bot kawal jauh dan memancing yang akan dikenakan sedikit bayaran.

Katanya, pusat pentadbiran kerajaan ini mempunyai 13 taman membabitkan keluasan 2,600 hektar dan berpotensi dibangunkan dengan memperbanyakkan lagi produk pelancongan.

"Pantai berpasir berkeluasan 600 meter persegi dan 100 meter panjang ini adalah pantai buatan yang diyakini mampu mendapat sambutan ramai sekaligus menjana ekonomi penduduk setempat," katanya pada Majlis Sumbangan Bantuan Jom Balik Sekolah 2021 di Dewan Seri Siantan di sini, tadi.

Program Jom Balik Sekolah adalah inisiatif PPj dalam menyokong Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bertujuan membantu golongan asnaf dan B40 di Putrajaya.

Azmi berkata, sumbangan Jom Balik Sekolah itu dijadikan aktiviti tahunan dan pada kali ini PPj menyediakan peruntukan berjumlah RM120,000.

"Pelajar menerima sumbangan baucer keperluan sekolah bernilai RM100, beg sekolah, peralatan sekolah, pelitup muka dan kit ujian kendiri Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 2:16 PM