GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) menyokong pelaksanaan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga di Putrajaya namun bukan semua kawasan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu sesuai untuk aktiviti berniaga, kata Presiden PPj Datuk Muhammad Azmi Mohd Zainusa.

Beliau berkata, kawasan tumpuan utama pelancong atau protokol seperti di Dataran Putra dan sepanjang Boulevard Presint 2 adalah kawasan dilarang bagi aktiviti perniagaan selain kawasan Masjid Putra yang menjadi tumpuan utama awam juga tidak dibenarkan berniaga atas sebab keselamatan.

"Kepada yang berminat berniaga kecil-kecilan boleh memohon kepada PPj dan sekiranya lokasi yang dimohon tidak bersesuaian, PPj akan cadangkan di tempat lain," katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah Anugerah lnisiatif Hijau Putrajaya 2021 (AIH), di sini, hari ini.

Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dicetuskan Kementerian Wilayah Persekutuan pada 15 November 2020 bagi membantu peniaga kecil-kecilan berniaga di lokasi sesuai secara percuma ketika pandemik Covid-19.

"Dalam dasar pun dinyatakan (berniaga) di tempat yang sesuai dan bukan semua kawasan sesuai untuk aktiviti berniaga.

"Jika tidak dikawal, di tepi bangunan kerajaan pun akan ada yang berniaga. Perlu ada unsur kawalan dan sekiranya lokasi tidak sesuai untuk berniaga PPj akan mencadangkan lokasi lain yang bersesuaian," kata Muhammad Azmi.

Muhammad Azmi berkata, PPj akan membuka tempat perniagaan baharu di Anjung Floria selewat-lewatnya Januari tahun depan, dengan kawasan itu sedang dimuktamadkan sebagai tapak pitstop utama basikal dan pantai buatan untuk aktiviti air seperti kayak.

"Kawasan ini dirancang untuk dijadikan tempat tumpuan dan kunjungan awam. Ini akan menjadi tarikan kepada peniaga kecil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:51 PM