Waris murid di sebuah sekolah di Bandar Darulaman melakukan perhimpunan secara aman untuk menghantar memorandum berikutan seorang guru wanita enggan divaksin. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Waris murid di sebuah sekolah di Bandar Darulaman melakukan perhimpunan secara aman untuk menghantar memorandum berikutan seorang guru wanita enggan divaksin. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Sebahagian besar ibu bapa dan waris di sebuah sekolah kebangsaan di Bandar Darulaman di sini, melahirkan kebimbangan apabila mendakwa seorang guru wanita di sekolah itu enggan divaksin namun masih bekerja seperti biasa.

Mereka mendakwa, walaupun guru itu sudah diasingkan daripada mengajar dan ditempatkan di surau sekolah berkenaan, namun dia masih bergerak bebas di kawasan sekolah seperti yang dilaporkan anak-anak mereka.

Difahamkan, terdapat hampir 1,000 murid di sekolah itu yang belajar di tahun satu hingga tahun enam.

Berikutan itu, wakil kumpulan ibu bapa dan waris murid di sekolah berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu semalam, berhubung masalah itu selain menghantar memorandum kepada pihak sekolah berkenaan untuk tindakan lanjut.

Waris, Mohd Hasbi Fadil, 44, berkata, mereka sudah membincangkan masalah itu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan minggu lalu namun setakat ini, tiada tindakan diambil.

Katanya, mereka kemudian sepakat untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada guru besar sekolah terbabit hari ini, supaya mengambil tindakan dengan menukar guru wanita itu demi keselamatan anak-anak mereka.

"Kalau kita nak masuk mana-mana premis pun, kita kena lengkap suntikan dos vaksin tapi apa yang kami tahu, guru ini dibenarkan masuk ke sekolah walaupun tidak divaksin.

"Ia seperti melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan kami bimbang berlaku penularan jangkitan Covid-19 kepada anak-anak kami sekiranya guru terbabit masih enggan divaksin dan berada di sekolah ini," katanya ditemui selepas melakukan perhimpunan aman di hadapan sekolah berkenaan hari ini.

Mohd Hasbi berkata, lebih 50 ibu bapa dan waris di sekolah itu mengharapkan pihak sekolah atau jabatan pendidikan daerah dan negeri melakukan sesuatu bagi membendung masalah itu.

Katanya, tugas guru yang enggan divaksin itu terpaksa diambil alih oleh guru lain menyebabkan guru yang mengambil alih tugasnya terbeban.

"Hari ini kami ibu bapa yang hadir hanya tujuh orang manakala selebihnya tidak dapat datang kerana bertugas selain mengikut SOP bagi mengelakkan berlaku perhimpunan ramai.

"Saya harap perkara ini dapat ditangani segera dan jalan mudah, tukar saja guru berkenaan ke tempat lain supaya anak-anak kami selamat belajar di sini.

"Guru itu tetap datang ke sekolah tetapi tidak mengajar kerana diasingkan namun dia tetap melakukan pergerakan di sekolah ini," katanya.

Seorang lagi bapa murid, Mohd Huzaini Ahmad, 44, berkata, dua anaknya berusia lapan dan 12 tahun belajar di sekolah itu namun berasa tidak selamat jika keadaan terbabit berlarutan.

Terdahulu, wakil ibu bapa dan waris yang hadir menyerahkan memorandum kepada guru besar sekolah berkenaan untuk membantu menyelesaikan perkara itu.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri pada kenyataan berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan berkenaan isu ini dan akan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 1:02 PM