GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Balai Polis Setapak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ditutup tujuh hari susulan beberapa pegawainya positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penutupan itu dilakukan berikutan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencegah penularan Covid-19.

"Balai Polis Setapak akan ditutup bermula hari ini sehingga 10 Disember ini, segala urusan termasuk pengeluaran permit, boleh ke balai polis berhampiran.

"Perkhidmatan polis kepada masyarakat di bawah pentadbiran Balai Polis Setapak seperti rondaan cegah jenayah tetap dijalankan seperti biasa menerusi Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan elemen lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada kenyataan.

Menurutnya, orang ramai khususnya di bawah pentadbiran Balai Polis Setapak yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Balai Polis Wangsa Maju di talian 03-92899222, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 7:06 PM