PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan. FOTO ihsan polis
PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis sedang mengesan saksi tiga kemalangan maut membabitkan tiga penunggang motosikal dalam kejadian berasingan di daerah ini yang berlaku pada Ahad lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan di Kilometer (KM) 24.8 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala Sungai Buloh membabitkan sebuah motosikal Honda RS150R dan kereta Perodua Alza pada 8 malam.

"Siasatan mendapati kereta Perodua Alza yang berada di lorong paling kanan hilang kawalan lalu berpusing dan merempuh pembahagi jalan akibat jalan licin disebabkan hujan.

"Kereta itu terhenti dalam keadaan melintang di lorong itu yang kemudian dirempuh motosikal mangsa menyebabkan penunggangnya parah.

"Bagaimanapun, mangsa yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, satu lagi kemalangan berlaku di Jalan Sungai Buloh-Kepong berdekatan susur Sri Damansara pada 10.20 pagi semalam membabitkan sebuah motosikal Modenas Kriss, kereta Perodua Myvi dan lori.

Beliau berkata, motosikal itu melanggar belakang bucu kiri kereta itu menyebabkan penunggangnya terjatuh dan kemudian digilis lori itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kemalangan pada 9.40 Ahad lalu pula berlaku di KM 1.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) membabitkan sebuah motosikal Honda ditunggang lelaki berusia 24 tahun.

"Motosikal itu dipercayai terbabas menyebabkan mangsa terjatuh sebelum disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tiga kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016-2679025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 11:54 PM