Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor bersetuju membatalkan pajakan tanah Tanjung Pasir Ladang Tennamaram Bestari Jaya, Kuala Selangor seluas 39 hektar (96.4 ekar) yang diwartakan kepada kepada kepada dua syarikat sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas hal berkenaan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) serta dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 17 November lalu.

Katanya, sebelum ini tanah berkenaan dipajakkan kepada Syarikat Baisan Suria Sdn Bhd dan Syarikat Trilion Project Sdn Bhd yang akan diberi gantian pajakan di kawasan lain bagi tujuan pertanian dan penternakan.

"Tanah berkenaan akan dipajakkan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) selama 21 tahun dan perbadanan itu perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 peneroka yang memohon.

"Hasil daripada perundingan antara pihak PKPS dan kesemua kumpulan peneroka yang berminat juga sudah mencapai kata sepakat dan mereka bersetuju untuk mendaftar sebagai pemajak melalui PKPS," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) bersama wakil peneroka Ladang Tennamaram, Kampung Tanjong Pasir selepas sidang media berhubung mencapai kata sepakat dengan kerajaan negeri Selangor untuk menyelesaikan isu pajakan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) bersama wakil peneroka Ladang Tennamaram, Kampung Tanjong Pasir selepas sidang media berhubung mencapai kata sepakat dengan kerajaan negeri Selangor untuk menyelesaikan isu pajakan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Amirudin berkata, isu berkaitan pertikaian terhadap pajakan tanah Tanjung Pasir Ladang Tennamaram dibangkitkan pada awal April lalu apabila kumpulan peneroka ladang berkenaan meminta campur tangan kerajaan negeri berhubung pertindihan permohonan tanah yang sudah mereka usahakan dengan dua syarikat yang sudah diberi pajakan.

Katanya, sebuah Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) yang terdiri daripada lima anggota jawatankuasa termasuk Unit Integriti dan Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ditubuhkan pada 3 Mei lalu.

"Berdasarkan syor yang dikemukan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 19 Ogos lalu, saya mengarahkan Setoguchi Politik, Juwairiya Zulkifli untuk mengadakan perbincangan dan perundingan antara pihak syarikat, pihak peneroka dengan kehadiran Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan PKPS.

"Perkara itu seterusnya dibawa ke MTES dan MMKN sebelum keputusan pembatalan pajakan dibuat. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dan memberikan kerjasama dalam usaha kita mencari jalan tengah untuk menyelesaikan pertikaian ini," katanya.

Dalam pada itu, wakil peneroka V Jaya Kumar berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri serta PKPS yang komited membantu menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

"Kami berharap dengan adanya penglibatan daripada pihak PKPS, nasib peneroka di ladang ini dapat dibela sera diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 5:11 PM