SETIAP platform penstriman digital mempunyai tahap keselamatan hampir sama.
SETIAP platform penstriman digital mempunyai tahap keselamatan hampir sama.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


KEMAJUAN jaringan telekomunikasi di negara ini membolehkan kandungan penstriman semakin popular, namun baru-baru ini wujud cadangan untuk menapis sebarang bentuk filem, drama atau dokumentari menggunakan platform berkenaan.

Cadangan itu termasuk daripada Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) yang menggesa kerajaan menapis kandungan platform penstriman, Netflix selepas menerima beberapa keluhan daripada ibu bapa.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri baru-baru ini menyuarakan hasrat berkenaan selain mewujudkan akta mengawal selia kandungan video yang disediakan oleh platform digital.

Bagaimanapun, platform penstriman seperti Netflix sebenarnya mempunyai beberapa ciri keselamatan sama ada untuk memelihara akaun pengguna termasuk memisahkan kandungan menggunakan kod pin yang perlu dimasukkan oleh penjaga.

Jika isu kandungan Netflix membabitkan visual tidak sopan atau aksi ganas dan penggunaan dadah, sebenarnya ibu bapa atau penjaga boleh memasukkan kod pin untuk mengelakkan anak melihat kandungan seperti itu.

Menerusi Fokus minggu ini, #ITMetro akan memberikan beberapa tatacara penggunaan platform berkenaan supaya pemegang akaun boleh melakukan sekatan kandungan dengan memasukkan kod pin mereka sendiri.

Sebenarnya, setiap platform penstriman digital ini mempunyai tahap keselamatan yang hampir sama iaitu kod pin untuk sekatan kandungan dan pengguna perlu memilih kategori kandungan yang memerlukan aksi pin.

Berikut adalah beberapa langkah untuk membolehkan akses kod pin sekali gus menyekat sebarang kandungan yang dirasakan tidak bersesuaian untuk tontonan umum.

Pengguna perlu menggunakan pelayar dan melayari www.netflix.com/YourAccount

LANGKAH kedua adalah pengguna perlu menekan tetapan pengubahsuaian yang diletakkan di bahagian atas kanan pelayar.
LANGKAH kedua adalah pengguna perlu menekan tetapan pengubahsuaian yang diletakkan di bahagian atas kanan pelayar.

1. Langkah pertama

Yang perlu dilakukan adalah membuka pelayar atau enjin carian Internet sama ada menggunakan peranti mudah alih atau laptop.

Pengguna perlu memasukkan e-mel yang didaftarkan dengan Netflix dan kata laluan serta memilih profil sebelum melakukan pengubahsuaian.

2. Pilih tetapan akaun (Account)

Langkah kedua adalah pengguna perlu menekan tetapan pengubahsuaian yang diletakkan di bahagian atas kanan pelayar di sebelah profil pengguna.

Pengguna perlu menekan tab di sebelah ruangan profil berkenaan dan memilih pilihan akaun (Account) untuk melakukan sebarang tetapan.

3. Pilih tetapan (Setting)

Sebaik pengguna menekan tab akaun berkenaan, pelayar akan membawa kepada ringkasan akaun termasuk butiran kaedah pembayaran dan pakej penstriman Netflix yang dilanggan.

Ruangan berkenaan juga mengandungi alamat pelanggan. Langkah seterusnya adalah memilih tetapan pengubahsuaian (Setting) pada ruangan berkenaan.

4. Guna mod kawalan (Parental Control)

Pengguna perlu memilih mod kawalan penjaga dan sebaik menekan pilihan berkenaan, pengguna perlu memasukkan kata laluan akaun Netflix sebagai pengesahan.

5. Buat tetapan kod pin

Sebaik pengguna memasukkan kata laluan berkenaan, pelayar akan membawa pengguna kepada ruangan penetapan kod pin yang dirasakan bersesuaian.

Pengguna dicadangkan untuk menggunakan kod pin empat angka yang sukar untuk dijangka seperti gabungan nombor tentu untuk tujuan keselamatan.

6. Penetapan kawalan

Berdasarkan pilihan berkenaan, Netflix membuat empat kategori utama untuk kawalan seperti anak kecil (little kids), kanak-kanak (older kids), remaja (teens) dan dewasa (adults).

Pilihan berkenaan adalah berdasarkan kepada cadangan kod kandungan Netflix seperti filem atau drama yang mempunyai penarafan TV-Y untuk anak kecil manakala kandungan yang tiada penarafan akan dihalang sepenuhnya berdasarkan kepada penetapan kawalan pengguna.

7. Guna pilihan penetapan kawalan berdasarkan tajuk

Jika pengguna berasakan penetapan tajuk masih tidak mencukupi, pengguna boleh memasukkan tajuk filem, drama atau animasi tertentu pada ruangan berkenaan.

Ia adalah ciri tambahan bagi Netflix memandangkan wujud kandungan yang dirasakan tidak sesuai untuk semua peringkat umur.

Sebenarnya, semua platform penstriman mempunyai pilihan keselamatan berkenaan dan pengguna perlu lebih bijak menggunakan tetapan keselamatan sewajarnya untuk memastikan kandungan adalah selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 12:38 PM