RUSLEE (berdiri)  memantau urusan pemilik rumah di Pejabat Operasi MJD Berhad. FOTO Ihsan Pembaca
RUSLEE (berdiri) memantau urusan pemilik rumah di Pejabat Operasi MJD Berhad. FOTO Ihsan Pembaca
Hadzlan Hassan


Rawang: Pemilik rumah di Bandar Sungai Buaya, di sini, berharap penantian mereka lebih 20 tahun untuk memiliki geran hak milik individu bakal menjadi kenyataan.

Untuk itu, Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB) membantu Murna Jaya Development Berhad (MJD Berhad) mengemas kini dokumen pemilik hartanah untuk urusan proses berkenaan.

MJD Berhad dipertanggungjawab menguruskan isu tanah dan proses geran hak milik individu (pemilik rumah, kedai dan pejabat) di kawasan terbabit.

Pengerusi GNBSB Datuk Ruslee Hashim berkata, kempen yang bermula Mac lalu dijalankan dengan bantuan 16 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat hebahan dengan mengedarkan surat pekeliling berkenaan urusan proses geran hak milik individu ke setiap peti surat rumah penghuni Bandar Sungai Buaya.

Menurutnya, GNBSB juga memasang 6 kain rentang termasuk satu yang bersaiz besar di kawasan yang sesuai di sekitar Bandar Sungai Buaya.

"Alhamdulillah tindakan itu membolehkan pemilik premis berpusu-pusu ke MJD Berhad bagi urusan geran hak milik individu yang akan berakhir esok (30 November)," katanya.

Katanya, setakat ini maklum balas dari pemilik hartanah untuk serahan salinan dokumen dan kemas kini butiran pemilik amat menggalakkan dan dianggarkan lebih 60 peratus sudah berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 11:38 PM