AMIRUDIN  (tengah) menyaksikan Ruslee (kanan) menerima surat geran tanah pada majlis penyerahan di pekarangan Pejabat Operasi MJDB. FOTO Ihsan Pembaca
AMIRUDIN (tengah) menyaksikan Ruslee (kanan) menerima surat geran tanah pada majlis penyerahan di pekarangan Pejabat Operasi MJDB. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Penantian 24 tahun penduduk Bandar Sungai Buaya untuk memiliki geran hak milik rumah berakhir, apabila mereka menerima geran masing-masing, semalam.

Dokumen itu diterima 730 pemilik rumah pada majlis yang berlangsung di pekarangan Pejabat Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB) Bandar Sungai Buaya, di sini, yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Penduduk yang juga Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya (GNBSB) Datuk Ruslee Hashim berkata, perjuangan untuk mendapatkan suratan hak milik individu membabitkan lebih 3,500 rumah.

Ruslee berkata, beliau dan pemilik rumah lain bersyukur kerana sebelum ini terbeban dengan pelbagai isu.

"Kami ada rumah tetapi tiada geran. Tak boleh pindah milik atau serah rumah kepada anak atau sukar untuk lakukan proses jual beli memandangkan kebanyakan bank mengelak untuk berurusan atau meluluskan pinjaman tanpa dokumen geran individu.

"Bila dapat geran daripada Kerajaan Negeri, urusan bakal menjadi mudah berbanding dulu," katanya yang menetap di kawasan itu sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MJDB Amirul Fahmi Ahmad berkata, bagi menyelesaikan masalah itu, pihaknya terpaksa melangsaikan hutang membabitkan cukai tanah tertunggak kepada pihak berkuasa, kos ukur kesemua lot-lot individu, caruman parit dan sebagainya bagi memastikan 3,580 pemilik individu atau syarikat mendapat suratan hak milik individu masing-masing.

Katanya, hakikatnya MJDB membantu pemilik menanggung dua pertiga daripada kos sebenar yang sebenarnya perlu ditanggung oleh mereka.

"Pemilik hanya perlu mengeluarkan kos minimum satu pertiga sebanyak kira-kira RM4,000 setiap lot masing-masing, daripada kos sebenar yang jumlahnya melebihi RM12,000.

"Baki 2,850 pemilik pula akan menerima surat hak milik individu masing-masing secara berperingkat dan berfasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 4:46 PM