Ruslee (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan peralatan sanitasi pada Jaafar. FOTO ihsan Rela
Ruslee (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan peralatan sanitasi pada Jaafar. FOTO ihsan Rela
Hadzlan Hassan


Rawang: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Bandar Sungai Buaya (GNBSB) dan Rela Hulu Selangor menganjurkan Program Sanitasi Komuniti Awam Percuma kepada seluruh kejiranan taman perumahan di Bandar Sungai Buaya, hari ini.

GNBSB yang terdiri dari 16 NGO di Bandar Sungai Buaya berkolaborasi dengan Rela Hulu Selangor bagi menjayakan program berkenaan.

Pengerusi GNBSB Datuk Ruslee Hashim yang juga Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela (PPjKR) atau Kolonel Hulu Selangor, berkata program diadakan bagi membantu mengurangkan jangkitan covid 19 dalam komuniti dan dapat mengelakkan wujudnya kluster komuniti.

Beliau mengucapkan terima kasih pada Rela Hulu Selangor kerana sudi membantu melaksanakan program ini dengan percuma dan lebih teruja lagi anggota Rela terbabit berkhidmat secara sukarela tanpa mengharapka upah atau elaun.

Katanya, GNBSB dan Rela Hulu Selangor boleh dijadikan contoh kepada masyarakat di tempat lain supaya dapat melaksanakan program seperti ini.

Menurutnya, mungkin ramai anggota Rela tidak berjawatan tinggi tetapi buktikan mereka adalah rakyat yang bertanggungjawab.

"Itulah Rela, mereka tidak minta pujian dan wang ringgit daripada kita. Cukuplah sekadar Allah menilai kerja yang mereka buat. Jangan sesekali menghina atau memandang rendah mereka," katanya.

GNBSB yang mewakili 16 NGO berperanan membantu membuat hebahan kepada kejiranan setiap taman serta mengenal pasti kawasan yang hendak disanitasi manakala anggota Rela pula membuat semburan sanitasi.

Program dirasmikan Pegawai Rela Daerah Hulu Selangor, Jaafar Abd Rahim.

Menurut Jaafar, program itu berjaya dijalankan tanpa mengunakan dana dari pejabat Rela.

Katanya, semua sumbangan peralatan sanitasi datang dari NGO dan dari 12 Pegawai Bersekutu Rela Daerah Hulu Selangor.

Tambahnya, dalam program kali ini 75 anggota Rela terbabit.

GNBSB memberi empat set peralatan sanitasi kepada pihak Rela hulu Selangor bagi menjayakan program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 5:18 PM