Omar Ahmad

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi dengan peniaga yang memanipulasikan harga ayam melebihi harga siling seperti yang ditetapkan pada RM8.90.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, peniaga memberikan alasan harga ayam yang diterima sudah mahal dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan menetapkan harga ayam segar dari ladang ialah RM5.60 untuk sekilogram (kg).

Menurutnya, siasatan akan dilakukan sama ada dakwaan peniaga itu benar atau sebaliknya.

"Setakat ini penguat kuasa kementerian itu dimaklumkan supaya memantau, sebab kita ada laporan mereka yang buat (jual ayam melebihi harga ditetapkan) bukan secara tersorok tetapi sudah berani ambil gambar dan jual RM12 atau RM13 kg.

"Ini melanggar harga kawalan kita iaitu RM8.90 sahaja. Kita akan tengok mengapa perkara ini berlaku. Ada yang kata peniaga dapat dengan harga yang mahal, macam mana mereka hendak jual dengan harga berkenaan (harga siling). Itu alasan yang diberi.

"Jadi kita akan siasat sebab kita sudah tentukan harga dari ladang RM5.60 dan kerajaan beri subsidi kepada ladang ayam RM1.40 sekilogram.

"Harga ayam dari ladang mesti jual kepada pemborong RM5.60 sekilogram, campur subdisi kerajaan RM1.40 itu jumlahnya RM7. Jadi sepatutnya, tidak ada alasan untuk jual mahal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian Progran Jelajah Francais Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.

ROSOL menunjukkan aplikasi 'Price Catcher' yang boleh membantu pengguna mendapatkan perbandingan harga lebih rendah di pasaraya sekitar mereka. FOTO Omar Ahmad
ROSOL menunjukkan aplikasi 'Price Catcher' yang boleh membantu pengguna mendapatkan perbandingan harga lebih rendah di pasaraya sekitar mereka. FOTO Omar Ahmad

Menurut Rosol, sehingga kini sebanyak RM270,000 kompaun dikenakan terhadap 11,114 kes berkaitan ayam dan telur menerusi Skim Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur yang dikuatkuasakan sejak 5 Februari lalu.

Katanya, beliau menasihatkan agar orang ramai menggunakan aplikasi 'Price Catcher' untuk membuat perbandingan harga bagi mendapatkan barangan pada harga yang lebih berpatutan.

"Aplikasi ini boleh menunjukkan harga di sekitar kawasan mereka termasuk harga ayam. Optimakan penggunaan aplikasi ini supaya pengguna dan orang ramai dapat menikmati harga semasa yang lebih rendah.

"Jualan Keluarga Malaysia juga membantu, saya juga menyarankan agar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menganjurkan jualan ini dengan harga barangan termasuk ayam yang lebih murah, agar dapat mengurangkan beban masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 3:44 PM