Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Perarakan pengebumian yang menggunakan helikopter dalam keadaan berlegar (hover) rendah di Little India, di sini, semalam, disahkan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut rentetan laporan polis yang diterima mengenai insiden itu bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang kesalahan atau pelanggaran.

Katanya, selain pelanggaran SOP PPN, siasatan turut meliputi sama ada khidmat helikopter dalam keadaan legar beraltitud rendah yang dikatakan mengiringi perarakan jenazah itu, mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atau sebaliknya.

"Kalau ikutkan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), memang perarakan tidak dibenarkan khasnya perarakan membabitkan kematian. (Jadi) yang pasti memang ada pelanggaran SOP iaitu perarakan.

"Keduanya, adakah mereka mendapat kebenaran dari CAAM untuk terbang rendah kerana kita tengok daripada video tular itu, ia (helikopter) terbang terlampau rendah.

"Jadi kita akan siasat dari pelbagai sudut untuk lihat ada atau tidak sebarang kesalahan yang wujud," katanya.

TANGKAP layar menunjukkan helikopter yang berlegar ketika perarakan pengkebumian jenazah di Little India, di sini, semalam. FOTO Video tular
TANGKAP layar menunjukkan helikopter yang berlegar ketika perarakan pengkebumian jenazah di Little India, di sini, semalam. FOTO Video tular

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Pelancaran OP Cegah Jenayah Khas Polis Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, Senior Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Terdahulu, video berdurasi 30 saat tular di Facebook memaparkan upacara perarakan jenazah menaiki kereta dengan hiasan bunga yang turut diiringi beberapa individu yang menunggang kuda selain dengan kehadiran sebuah helikopter dalam keadaan terbang rendah di atas konvoi perarakan terbabit.

Menerusi keterangan bertulis pada video tular itu yang berbentuk hantaran di Facebook, dikhabarkan konvoi berkenaan mengiringi jenazah isteri kepada pengasas gedung tekstil di Little India Ipoh untuk dibawa ke tempat persemadian.

Menyentuh mengenai operasi, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya berjaya mengekalkan momentum penurunan indeks kadar jenayah di negeri itu.

Katanya, indeks kadar jenayah mencatat penurunan sebanyak 468 menjadikan 2,576 kes dicatatkan antara 1 Januari sehingga 26 November tahun ini berbanding 3,044 untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, operasi malam ini dilakukan secara bersepadu yang dijalankan turut dijalankan serentak di 15 daerah perbatasan polis seluruh Perak dalam usaha mengurangkan kegusaran orang ramai melalui pendekatan 'omnipresesence'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:27 AM