Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis Perak mengeluarkan empat kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana membawa kanak-kanak ketika menyertai perarakan 'chariot' sempena sambutan Thaipusam yang bermula semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain itu individu terbabit turut melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.

"Perarakan yang chariot bermula jam 5 petang dan berakhir jam 1 pagi berjalan lancar, walaupun ada empat kompaun dikeluarkan atas pelanggaran SOP asas kerana tidak pakai pelitup muka dan bawa kanak-kanak.

"SOP ini dengan jelas menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan menyertai perayaan Thaipusam tetapi masih juga ada yang berdegil bawa kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash menegaskan SOP yang berkuatkuasa selama empat hari itu turut menetapkan tidak membenarkan perarakan menggunakan kavadi.

"Perarakan chariot dibenarkan daripada destinasi pertama ke destinasi kedua, namun perarakan menggunakan kavadi tidak dibenarkan.

"Semalam ada maklumat yang mengatakan ada cubaan pihak tertentu untuk membawa kavadi, kita sudah memberi arahan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh untuk mengambil tindakan tegas sekiranya masih ada berdegil untuk membawa kavadi," katanya.

Katanya, beberapa laluan di bandaraya ditutup bagi memudahkan proses perarakan chariot sempena perayaan Thaipusam.

"Penutupan jalan dilakukan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai sepanjang sambutan ini berlangsung disamping penugasan kawalan yang diatur oleh pihak polis.

"Orang ramai dinasihati untuk terus mematuhi SOP yang dikeluarkan sepanjang sambutan berkenaan bagi memastikan tiada jangkitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 4:31 PM