PASUKAN bomba sedang giat memadam kebakaran yang memusnah Rumah Panjang Ason di Tembawai Kapok pagi tadi. FOTO Erika George
PASUKAN bomba sedang giat memadam kebakaran yang memusnah Rumah Panjang Ason di Tembawai Kapok pagi tadi. FOTO Erika George
Erika George


Saratok: Dua puluh keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Rumah Panjang Ason, Tembawai Kapok, Jalan Ulu Awik di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian berlaku pada 11 pagi dengan rumah panjang itu menempatkan 150 orang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 11.25 pagi.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan mendapati api sedang marak memusnahkan rumah panjang separa kekal dua tingkat itu.

"Kerja pemadaman segera dilakukan dan anggota mengambil masa setengah jam untuk mengawal kebakaran dan api dikawal sepenuhnya pada 11.47 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca kebakaran dan jumlah kerugian.

"Mujurlah kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuninya berjaya lari menyelamatkan diri," katanya yang memberitahu keseluruhan rumah panjang itu musnah.

Difahamkan, semua mangsa kini tinggal sementara di khemah yang didirikan menunggu bantuan susulan.

Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju, antara pemimpin awal tampil menghulurkan bantuan.

Beliau menyerahkan RM5,000 kepada setiap keluarga terjejas dan RM10,000 lagi dalam bentuk bahan binaan untuk kediaman sementara penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:32 PM