Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bekalan elektrik di empat premis yang dijadikan sebagai pusat operasi judi serta pelacuran di daerah Dang Wangi di sini, dipotong hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pemotongan bekalan elektrik di tiga premis perjudian serta satu premis pelacuran itu dilakukan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2 petang.

"Pemotongan bekalan tenaga elektrik itu dilakukan atas permohonan hasil kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi dan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerusi serbuan Operasi Dadu dan Operasi Noda di premis terbabit.

"Selain itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga merobohkan struktur sekatan dalaman di premis yang menjalankan aktiviti pelacuran," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Noor Dellhan berkata, pemotongan bekalan tenaga elektrik itu dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 37 (13) (a) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 38 (1A) akta sama.

"Mana-mana premis yang diputuskan bekalan tenaga elektrik tidak boleh disambungkan pihak pembekal atau pemegang lesen tanpa kebenaran bertulis daripada pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada timbalan penguasa.

"Kami memberi amaran supaya orang ramai tidak terbabit dengan apa-apa kegiatan yang melanggari undang-undang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu dan premis yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 12:16 AM