ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di premis judi dalam talian di Jalan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan di premis judi dalam talian di Jalan Lebuh Pudu, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kedegilan pengusaha judi dalam talian beroperasi di Jalan Lebuh Pudu di sini, berakhir dengan bekalan elektrik di premis itu dipotong Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini.

Operasi jam 3 petang itu susulan daripada serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pemotongan bekalan elektrik dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).

"Mana-mana premis yang diputuskan bekalan tidak boleh disambungkan kepada premis itu oleh pihak pembekal atau pemegang lesen tanpa kebenaran bertulis daripada pegawai polis.

"Pemilik premis perlu mendapat kelulusan Ketua Polis Daerah untuk penyambungan semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai serbuan, Saiful berkata, seramai 17 individu termasuk dua warga asing yang juga penjaga premis berjaya ditahan.

Beliau berkata, semasa serbuan jam 7 malam, 15 pelanggan terbabit sedang bermain judi secara dalam talian menggunakan komputer riba dan .

"Polis turut merampas sembilan komputer riba, 11 , pelbagai peralatan komputer, telefon bimbit dan wang tunai RM664.

"Kesemua mereka berusia 24 hingga 61 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan diambil tindakan tuduh di mahkamah," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak terbabit kegiatan melanggari undang-undang dan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan melalui Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:04 PM