Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini bertindak memotong bekalan elektrik terhadap lima premis perniagaan yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Mereka yang menjalankan aktiviti itu berselindung di sebalik kedai runcit, mini mart, kedai aksesori telefon dan kedai kopi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, operasi memotong bekalan elektrik itu berlangsung dua jam dan pihaknya turut menahan lima individu warga tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis terbabit.

"Pemotongan elektrik ini kita lakukan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Risikan yang dibuat terhadap semua premis ini mendapati mereka sudah beroperasi dalam tempoh satu hingga tiga bulan.

"Oleh itu, kita memohon kepada TNB untuk membuat pemotongan elektrik bagi mengelakkan aktiviti ini terus berlaku," katanya yang ditemui ketika operasi pemotongan elektrik bersepadu itu dilakukan di sekitar daerah ini, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan perjudian dalam talian itu sebenarnya boleh dilakukan mana-mana pihak di merata kawasan termasuklah yang dikesan turut membabitkan di kawasan Felda.

Hussin Zamora (kiri) melihat pihak TNB melaksanakan operasi pemotongan elektrik bersepadu di sekitar daerah ini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Hussin Zamora (kiri) melihat pihak TNB melaksanakan operasi pemotongan elektrik bersepadu di sekitar daerah ini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Katanya, majoriti kegiatan yang dikesan itu dilakukan oleh mereka yang menyewa premis dan bukan pemilik kedai.

"Berikutan tindakan pemotongan elektrik yang diambil ini, pemilik premis boleh membuat permohonan kepada polis untuk penyambungan semula meter.

"Namun, kita akan terus memantau dan jika risikan kita mendapati kegiatan sama masih berlaku, kita tidak akan membenarkan penyambungan meter dibuat.

"Sekiranya kita dapati kegiatan aktiviti perjudian dalam talian ini berulang, kita juga akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan mereka," jelasnya.

Pada masa sama, Hussin berkata, sejak Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 32 serbuan membabitkan aktiviti perjudian dalam talian dilakukan, manakala 30 serbuan membabitkan loteri haram awam dan satu serbuan judi di luar bangunan.

"Daripada jumlah itu, 79 tangkapan dibuat dan sebanyak tujuh premis sudah dipotong bekalan elektrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 3:58 PM