JULASAPIYAH (kanan) memerhatikan petugas pilihan raya PH membersihkan poster dan bendera PH di Bilik Gerakan Utama PH di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
JULASAPIYAH (kanan) memerhatikan petugas pilihan raya PH membersihkan poster dan bendera PH di Bilik Gerakan Utama PH di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Selepas empat kali gagal pada Pilihan Raya Umum (PRU), calon Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah, Julasapiyah Kassim, mengakui kecewa tewas lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Julasapiyah, 53, mengakui kecewa bukan kerana tidak dipilih pengundi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, sebaliknya kerana Melaka gagal ditadbir kerajaan PH.

Beliau berkata, secara peribadi beliau tidak kecewa kerana gagal mendapat tempat di hati pengundi, sebaliknya sedih kerana PH tidak dipilih rakyat Melaka untuk membawa perubahan jika diberikan kuasa.

"Saya bukan calon kitar semula kerana kitar semula bermaksud sesuatu pernah digunakan dan dalam konteks pilihan raya, ia merujuk kepada wakil rakyat pernah berkhidmat tetapi dipilih semula sebagai calon.

"Saya tidak pernah memberikan perkhidmatan sebagai Adun, cuma saya memang sentiasa dekat dengan anggota komuniti kerana setiap kali kenduri kahwin atau ada kematian atau program kemasyarakatan, memang saya ada," katanya ketika ditemui di pekan Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau tewas kerana disifatkan pengundi sebagai calon kitar semula.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan 'Ustaz Julas' berkata, meskipun keletihan berkempen, beliau berasa puas kerana berpeluang berjumpa dengan lebih ramai anggota komuniti bagi memberikan penjelasan mengenai pembaharuan cuba dibawa PH.

PRN Melaka adalah cubaan kali kelima beliau untuk menawan hati pengundi Dun Kuala Linggi selepas bertanding kali pertama atas tiket Pas pada PRU-10 pada 1999, sebelum bertanding pada PRU-11 (2003), PRU-12 (2008) dan PRU-13 (2013).

Bagaimanapun, pada PRU-14 pada 2018, anak jati Kuala Sungai Baru itu tidak bertanding kerana ketika itu Amanah, PKR, DAP dan Bersatu yang berada dalam PH bersetuju agar kerusi itu ditandingi calon dari PKR, Hasmorni Tamby untuk mencabar calon Barisan Nasional (BN ), Datuk Ismail Othman dan Pas, Azmi Sambul.

Pada PRN Melaka Sabtu lalu, Rosli Abdullah daripada BN memperoleh 3,554 undi diikuti Julasapiyah (1,718 undi), Aziah Mohd Saad daripada Perikatan Nasional-PAS (1,645) dan Kamisan Palil (Bebas) (51).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 4:18 PM