DATUK Shafien Mamat. FOTO arkib NSTP
DATUK Shafien Mamat. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis akan menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) berusia 23 tahun, Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki itu dalam siasatan kes kecurian kenderaan yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dia meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

Katanya, ketika proses rakaman percakapan dan dokumentasi dijalankan di Pejabat Cawangan Bantuan Teknikal Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan, mangsa dilihat dalam keadaan menggeletar dan mulut berbuih.

"Pegawai dan anggota yang dalam proses rakaman percakapan bertindak segera dengan mengejarkan lelaki itu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan dan menyelamatkan mangsa yang berada dalam keadaan menggigil serta tidak sedarkan diri.

"Walau bagaimanapun, selepas bantuan diberikan oleh Pegawai Perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan daripada itu, satu kertas siasatan dibuka untuk siasatan awal berhubung kejadian berkenaan.

Shafien berkata, pakar forensik HRPZ II menjalankan bedah siasat pada hari yang sama, namun pakar forensik tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

"Pakar hanya memutuskan keputusan awal punca kematian mangsa sebagai 'unascertained' dan punca kematian selanjutnya bergantung kepada laporan analisa serta ujian makmal yang akan dilakukan oleh pihak patalogi.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan akan menjalankan siasatan secara telus dan percaya laporan analisa serta ujian makmal HRPZ II akan membantu siasatan serta memutuskan punca sebenar kematian mangsa.

"Justeru itu, saya menggesa dan menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta andaian berhubung kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:21 PM