Calon Perikatan Nasional N.23 Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memohon doa dan restu daripada ibunya, Hanifah Othman di Kampung Ujong Pasir. FOTO Asyraf
Calon Perikatan Nasional N.23 Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memohon doa dan restu daripada ibunya, Hanifah Othman di Kampung Ujong Pasir. FOTO Asyraf
Oleh Nuraliawati Sabri


Melaka: Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Telok Mas Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen, mendapat restu dan sokongan padu anggota keluarga yang mendoakan perjuangannya dalam memperoleh kejayaan yang memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ibunya, Hanifah Othman, 72, berkata, dia akan sentiasa menjadi penyokong kuat anaknya itu.

"Saya harap semuanya akan berjalan lancar untuk dia (Mohd Rafiq), Insya-Allah.

"Saya juga berharap dia diberi mandat oleh penduduk di Dun Telok Mas ini, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka jika dipilih pada PRN kali ini," katanya ditemui di kediamannya di Kampung Ujong Pasir.

Sementara itu, Mohd Rafiq yang juga Pengerusi PN Melaka berkata, sudah menjadi tradisi keluarganya untuk memohon restu daripada orang tua, sebelum melakukan sesuatu yang penting.

"Amat penting untuk dapatkan restu mereka, lagi pun ini adalah sebagai hormat kepada ibu bapa sebagaimana ajaran agama kita juga.

"Pada PRN kali ini, saya tidak bertanding di Telok Mas sebagai seorang pemimpin orang Melayu dan Islam saja, sebaliknya akan meneruskan khidmat bakti kepada semua masyarakat pelbagai kaum.

"Di kesempatan ini ,saya ingin mengucapkan selamat mengundi buat rakyat Melaka, khususnya penduduk di Telok Mas dan berharap kadar peratusan keluar mengundi tinggi, selain memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk menabur khidmat dan bakti di kampung halaman saya ini," katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput itu menawarkan 13 Ikrar Rafiq Untuk Warga Telok Mas, dengan memfokuskan semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama.

Malah, katanya, 11 daripada 13 ikrar itu antaranya, hari bertemu rakyat, gerai prihatin rakyat, memperkasa sektor pelancongan dan ekonomi, kebajikan nelayan dan penjaja serta pendidikan untuk rakyat pelbagai kaum.

"Turut diberi perhatian, kebajikan nelayan dan penjaja kecil, memperkasa ekonomi belia dan wanita, akses jalur lebar serta menaik taraf fasiliti sukan.

"Selain itu, kelas mengaji percuma, anugerah kecemerlangan dan kelas tambahan, kursus perkahwinan percuma, perkhidmatan ambulans dan van jenazah percuma, banteras kegiatan dadah dan judi serta pembersihan dan pengindahan tempat awam," katanya.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:00 PM