MOHD Rafiq pada sidang medianya di Pantai Puteri, hari ini. FOTO Amir Mamat.
MOHD Rafiq pada sidang medianya di Pantai Puteri, hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Melaka: Bersatu menerima tamparan hebat apabila Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti, berkuat-kuasa hari ini.

Mohd Rafiq yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata, surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Bersatu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu, Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu dan Ketua Bersatu Cawangan Cheng sudah dihantar kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu.

Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media khasnya di Pantai Puteri, di sini hari ini, beliau berkata, tindakannya itu susulan rasa terkilan dan kecewa apabila pucuk kepemimpinan PN enggan menamakan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen Tangga Batu.

Katanya, pada peringkat awal beliau sudah dimaklumkan akan dinamakan sebagai calon PN Parlimen Tangga Batu.

"Namun, beberapa hari lalu saya dihubungi Presiden Bersatu dan Timbalannya (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen Tangga Batu.

"Sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Parlimen Tangga Batu selama lebih enam tahun ini tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

"Tambahan pula, menjadi amalan dan tradisi bagi mana-mana parti politik di negara ini untuk memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti Naib Presiden untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya," katanya.

Justeru, katanya, dalam konteks ini, beliau merasakan struktur parti tidak lagi dihormati.

"Selepas memikirkan secara mendalam dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan dan ahli parti serta keluarga, saya mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Naib Presiden Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

"Saya juga mengumumkan pemberhentian saya sebagai ahli Bersatu seumur hidup berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Susulan keputusan itu, Mohd Rafiq melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Mohd Rafiq tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dengan majoriti 2,076 undi.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq berkata, setakat ini beliau belum memikirkan untuk menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya ingin meluangkan masa bersama keluarga.

Beliau turut mengakui tidak akan menyertai PRU-15.

"Walaupun tidak bertanding, saya bersama rakan akan meneruskan perjuangan dan khidmat bakti kami menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) di Parlimen Tangga Batu, negeri dan nasional.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pimpinan dan ahli Bersatu khususnya masyarakat di Parlimen Tangga Batu kerana tidak dapat menawarkan diri seterusnya mewakili suara rakyat parlimen ini pada pilihan raya kali ini," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 5:47 PM