ANGGOTA Polis sedang melakukan undi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
ANGGOTA Polis sedang melakukan undi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Ahmad Suhael Adnan


Ayer Keroh: Prosedur operasi standard (SOP) ketat di pusat mengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini meyakinkan anggota polis untuk menunaikan tanggungjawab.

Beberapa anggota polis ditemui di pusat mengundi awal itu yakin SOP digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengawal risiko penularan pandemik Covid-19.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Sarjan Jasmi Hassan, 44, yakin dan selesa dengan proses pengundian yang berjalan lancar serta mematuhi SOP.

"SOP seperti saringan suhu badan dan individu bergejala serta penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka yang dilaksanakan membuatkan saya rasa yakin untuk mengundi dengan selamat.

"Susun atur pergerakan pengundi daripada awal hingga akhir menitik beratkan penjarakan fizikal, selain aliran udara yang baik dalam dewan bagi meminimumkan risiko penularan jangkitan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anggota cawangan trafik IPK Melaka, Sarjan Sanip Tukiman, 56, berpuas hati dengan proses mengundi serta kecekapan petugas SPR untuk membantu orang kurang upaya (OKU) sepertinya mengundi dengan lancar.

Sanip hadir ke pusat pengundian awal itu dengan berkerusi roda selepas kehilangan kaki kiri dan lumpuh kaki kanan akibat kemalangan ketika bertugas pada 2015.

"Saya berpuas hati dengan proses mengundi hari ini. Ramai petugas SPR membantu saya dan proses mengundi berjalan dengan pantas tanpa perlu menunggu," katanya.

Seorang lagi anggota polis, Lans Koperal Nur Hidayah Aziz, 30, yang berasal dari Pahang, turut menzahirkan rasa selamat untuk keluar mengundi awal walaupun dalam situasi pandemik ketika ini.

"Saya tiba sekitar jam 8.20 pagi dan tak perlu menunggu lama untuk mengundi. Saya berpuas hati dengan SOP di sini, dan lega kerana dapat menunaikan tanggungjawab dengan selamat," katanya.

Seramai 739 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di IPK Melaka hari ini, dengan proses undian bermula jam 8 pagi tadi.

Secara keseluruhan, seramai 11,557 pengundi awal dalam kalangan anggota polis, tentera dan pasangan dijangka keluar mengundi di 31 pusat mengundi awal PRN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 1:18 PM