Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Menjalankan tanggungjawab mengundi terlalu penting untuk ditinggalkan bagi anggota polis berusia 60 tahun meskipun pergerakannya terbatas dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat ke tempat mengundi.

Sarjan Mejar Che Mustapa Che Ahmad yang Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana dijemput untuk keluar mengundi dan proses mengundi awal selesai dengan cepat serta mudah.

Katanya, dia tetap akan melaksanakan tanggungjawab itu kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) amat penting dalam menentukan kerajaan yang bakal memimpin negeri itu.

"Keadaan diri yang terbatas ini tidak sekali-kali menghalang saya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Alhamdulillah semuanya dipermudahkan apabila anggota polis dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berada di tempat pengundian sangat membantu sehingga proses membuang undi selesai," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengundian awal di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) IPK Kelantan di sini, hari ini.

Bapa kepada lima anak dan datuk kepada dua cucu ini berkata, dia diserang angin ahmar di sebelah kiri badan pada Jun tahun lalu.

"Selepas 40 tahun berkhidmat, saya akan bersara wajib pada September depan dan masa yang terluang akan digunakan untuk menjalani proses pemulihan untuk kembali pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:08 PM