Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Polis mengesan beberapa video berhubung kejadian didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) di taman tema di sini, yang tular di media sosial termasuk terbaharu video berdurasi 47 saat dikesan semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, video baharu itu tular sebelum akaun media sosial yang memaparkan pelanggaran SOP di taman tema itu dinyahaktifkan.

Menurutnya, polis sudah mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu 10 November lalu.

"Hasil siasatan lanjut, terdapat beberapa video terkesan yang telah dimuat naik oleh akaun berlainan memaparkan kejadian itu.

"Pihak pengurusan taman tema itu memaklumkan, seramai 40,000 orang boleh dimuatkan dalam satu-satu masa manakala kapasiti mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 adalah seramai 20,000 orang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Khalid berkata, pada 6 November lalu terdapat kira-kira 1,900 orang di dalam kawasan air berombak taman tema itu, manakala 5,000 orang dibenarkan dalam satu-satu masa mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Fasa 4 PPN.

"Hasil perbincangan dengan pihak pengurusan taman tema, dinasihatkan hanya menetapkan 1,000 orang dan ke bawah boleh berada di dalam taman tema air berombak dalam satu-satu masa.

"Pihak pengurusan taman tema bersetuju dengan cadangan itu dan akan mengambil langkah-langkah yang bersesuai bagi memastikan ianya dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan taman tema juga akan sentiasa memastikan supaya semua pengunjung sentiasa mematuhi SOP yang di tetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 10:43 AM