MOHAMAD Haron (dua kiri) bersama penduduk Bandar Kinrara mohon menggantikan pembinaan SJKC dengan SK. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
MOHAMAD Haron (dua kiri) bersama penduduk Bandar Kinrara mohon menggantikan pembinaan SJKC dengan SK. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi


Serdang: Penduduk Bandar Kinrara (BK), di sini, memohon pertimbangan kerajaan supaya menghentikan projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing di Jalan Kinrara 5B, di sini, sebaliknya diganti dengan membina Sekolah Kebangsaan (SK) yang lebih diperlukan di sini.

Pengerusi Penaja Jawatankuasa Pertubuhan Badan Bertindak Bandar Kinrara (Bertindak) Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, tapak ini pada asalnya diserahkan oleh pihak pemaju perumahan kepada Kementerian Pendidikan pada 2007 sebagai salah satu tapak pembinaan SK di sini.

Menurutnya, Bandar Kinrara mempunyai lebih 13,837 rumah dengan anggaran penduduk 69,185 orang iaitu 8,217 unit adalah bumiputera manakala 5,620 unit pula bukan bumiputera.

"Bagaimanapun, pada 7 April lalu kami dikejutkan dengan pemasangan papan iklan menyatakan pembinaan sebuah SJKC di atas tapak ini yang dianggap menceroboh kerana difahamkan mereka hanya mendapat tarikh kelulusan untuk membinanya pada 23 September lalu," katanya kepada media pada sidang media di tapak pembinaan SJKC Too Joon Hing, di Jalan Kinrara 5B, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka tidak menghalang pembinaan sekolah tetapi penduduk tidak setuju pembinaan SJKC yang ketujuh di dalam radius lima kilometer sedangkan hanya terdapat tiga SK yang sudah terlalu padat.

Mohamad Haron berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan membatalkan kelulusan pembinaan SJKC itu sebaliknya diganti dengan pembinaan SK.

"Jika SK dapat dibina di sini, ia mampu memberi manfaat kepada hampir 11,000 unit rumah di BK4 hiingga BK9," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 11:36 AM