TAN Sri Annuar Musa bersama antara rakan strategik Art In The City. FOTO BERNAMA
TAN Sri Annuar Musa bersama antara rakan strategik Art In The City. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Agensi kerajaan dan swasta harus memainkan peranan supaya dapat menggali dan menggarapkan unsur-unsur industri kreatif di negara ini seterusnya diangkat ke tahap lebih tinggi selain menjana pendapatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa berkata ia penting kerana sumbangan industri kreatif kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) masih rendah walaupun Malaysia kaya dengan hasil-hasil kreatif.

"Idea-idea kreatif perlu ditransformasi selain sebagai warisan dan kebanggaan ia juga boleh menjadi satu cabang untuk menjana pendapatan.

"Di sesetengah negara sumbangan sektor industri kreatif ini mencapai tahap yang tinggi kepada pendapatan negara mereka," katanya ketika berucap di Majlis Pengumuman Rakan Usahasama Árt In The City 2021 di sini malam semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKMM Mastura Ahmad Mustafa; Pengerusi MyCreative Ventures Noor Azmi Mohd Said; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) Izan Satrina Mohd Sallehuddin dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Annuar berkata unsur-unsur industri kreatif perlu diperkukuh, maka MyCreative dan Cendana perlu menggarap segala seni budaya dalam negara untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:39 AM