GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sarah Zulkifli


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan mengugut mahu membunuh isterinya, minggu lalu.

Tertuduh, R Subramaniam, 42, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadap dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan ketakutan terhadap P Vajayaletchumy, 38, di sebuah rumah di Goodyear Court 10, USJ 15, Subang Jaya dekat Petaling Jaya, jam 7 malam, 29 Julai lalu.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan.

Majistret Salamiah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 4:19 PM