Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak awal pagi menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi di sekitar Georgetown, hari ini.

Kejadian pada waktu puncak itu turut menyebabkan kesesakan di beberapa laluan utama yang ditenggelami air.

Antara kawasan terbabit ialah Lebuh Cecil, Jalan Timah, simpang Kampung Jawa Lama, Lebuh Carnarvon, Lebuh Victoria dan Pengkalan Weld, Kampung Masjid Hisham Yahya, Jalan P Ramlee dan Jalan Kuantan.

Selain itu, Jalan Pintal Tali, Jalan Macalister, Lorong Ngah Aboo, Jalan Anson, Lebuh Mcnair, Lebuh Nanking, dan Lebuh Katz.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, banjir kilat berkenaan mulai surut pada 9.30 pagi.

"Pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berada di lokasi untuk melakukan kerja pembersihan bagi memastikan tiada saliran atau longkang yang tersumbat," katanya.

PEKERJA MBPP melakukan kerja pembersihan susulan banjir kilat di sekitar Georgetown, hari ini. FOTO ihsan PHEE BOON POH
PEKERJA MBPP melakukan kerja pembersihan susulan banjir kilat di sekitar Georgetown, hari ini. FOTO ihsan PHEE BOON POH

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A'azelan Hassan berkata, pihaknya tidak menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian.

Beliau berkata, pihaknya tetap melakukan rondaan di kawasan terjejas banjir terutama di Jalan Terengganu dan Jalan P Ramlee bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 3:06 PM