GAMBAR kenangan arwah Zahalita (tengah) bersama rakan pendaki sebelum melakukan ekspedisi pendakian Gunung Tahan. FOTO Facebook  Zahalita Othman
GAMBAR kenangan arwah Zahalita (tengah) bersama rakan pendaki sebelum melakukan ekspedisi pendakian Gunung Tahan. FOTO Facebook Zahalita Othman
Amir Hamzah Nordin


Lipis: Allahyarham Zahalita Othman, 52, sempat minum segelas air sebelum pengsan dan meninggal dunia di Gunung Reskit, Kuala Tahan, di sini, Selasa lalu.

Malim gunung Nazaruddin Samat, 54, yang bersama kumpulan pendaki terbabit berkata, sebelum itu mereka menunaikan solat Subuh sebelum arwah keluar seketika untuk membersihkan diri.

Menurutnya, apabila arwah masuk kembali ke dalam khemah, didapati dia mengalami sesak nafas sebelum pendaki lain dikenali sebagai Anas Nabila membantu menyapu ubat sapu padanya.

"Ketika itu, saya terus mendekati arwah dan berasa tangannya masih panas lalu memaklumkan pada Anas dan seorang lagi pendaki lelaki yang dikenali Hafiz bahawa perlu minta bantuan segera.

"Saya dan Hafiz bertindak ke Kem Gedung untuk meminta bantuan daripada kumpulan yang berada di hadapan, manakala Anas diminta untuk menunggu arwah seketika di Gunung Risket," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia bersama sembilan pendaki termasuk tiga wanita berpecah kepada dua kumpulan dengan enam pendaki bergerak menuju ke Kem Gedung.

Katanya, dia bersama Zahalita, Anas dan Hafiz berada di kumpulan kedua pada jarak kira-kira satu kilometer atau kira-kira 40 minit perjalanan.

"Dalam perjalanan menuju ke Kem Gedung, saya berasa tidak sedap hati sebelum meminta Hafiz meneruskan perjalanan untuk memanggil turun rakan pendaki manakala saya berpatah balik ke Gunung Risket," katanya.

Katanya, ketika sampai semula di Gunung Risket, dia melihat Anas menangis di sisi Zahalita dan memaklumkan rakan baiknya sudah meninggal dunia.

"Saya turut memeriksa nadi Zahalita, namun gagal mengesan denyutan. Untuk lebih kepastian, dua rakan pendaki lain turut memeriksa dan mengesahkan arwah sudah meninggal dunia," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan arwah Zahalita bersama lapan pendaki melaksanakan ekspedisi mendaki Gunung Tahan bagi laluan Kuala Tahan-Merapoh (K2M) pada 1 Februari dan sepatutnya tiba di Merapoh Khamis lalu.

Bagaimanapun, Zahalita meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi pada Selasa lalu dipercayai akibat sesak nafas.

Mayat mangsa dibawa keluar dari Gunung Gedung kira-kira 8.30 pagi pada Khamis lalu menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 2:28 PM