NUR Syazana keluar rumah Selasa lalu sehingga kini belum ditemui. FOTO Ihsan Jamaliah Yusof.
NUR Syazana keluar rumah Selasa lalu sehingga kini belum ditemui. FOTO Ihsan Jamaliah Yusof.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang wanita berharap orang ramai dapat membantu mengesan anak gadisnya yang tidak pulang ke rumahnya di Taman Sri Mawar, di sini, sejak Selasa lalu.

Jamaliah Yusof, 57, berkata, anaknya Nur Syazana Ghazali, 23, keluar dari rumah untuk membeli makanan kucing pada 3.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, mereka menyedari barangan yang dibeli diletakkannya di luar rumah pada 10.30 malam hari kejadian.

"Saya cuba menghubunginya melalui telefon bimbit tetapi tidak berjawab, malah rakan-rakannya yang lain juga tidak mengetahui di mana Syazana.

"Bimbang akan keselamatannya, saya membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Rahang pada malam kejadian," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu tidak pernah bertindak demikian sebelum ini, malah tiada sebarang perbalahan yang boleh menjadi penyebab kepada tindakannya lari dari rumah.

Jamaliah berkata, Syazana kini tidak bekerja.

Katanya, dia sudah buat laporan polis kali kedua di balai polis sama, semalam.

"Saya berharap anak saya dapat ditemui. Mana-mana yang terjumpa dengan anak saya diminta menghubungi saya di talian 017-3080467 atau mana-mana balai polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:27 AM